Masalah

Sudah masuk 6 bulan berkerjaya di sebuah badan berkanun di Kuala Lumpur.

Di bahagian aku ini, ada lebih kurang 60 staf yang bersama-sama menjayakan organisasi dan meneruskan kehidupan untuk mencari rezeki. Bahagian aku jela..bahagian lain belum kira lagi berapa orang staf kan.

Dalam 60 staf ini, macam-macam ragam. Lelaki dan perempuan. Gred tinggi dan gred rendah. Senior dan junior. dah kahwin dan bujang. Dan yang sewaktu dengannya.

6 bulan di sini tidaklah membuatkan aku betul-betul kenal dengan setiap personaliti mereka. Tapi sedikit sebanyak dapat la juga scan manay ang boleh dijadikan contoh, mana yang harus dipandang sahaja tanpa perlu menjadikannya idola. heh.

Dan dalam ramai-ramai ini juga, boleh menjadikan bukti bahawa kerja dan gaji yang baik bukanlah jaminan kehidupan kita menjadi lebih baik. kerana ada dalam kalangan mereka yang bahagia dengan kehidupan yang biasa-biasa. Ada yang perlu berada di dalam kasta mereka sendiri.

Aku perhati setiap seorang daripada mereka. Jelas…setiap orang itu ada masalahnya.

Ada yang tidak berkahwin. Dikecewakan oleh orang-orang yang tak berguna. Ada yang berkahwin dengan orang yang lebih berusia. Ada yang berkahwin anaknya ramai, gajinya rendah. Ada yang baru berkahwin. Ramai juga yang bujang. Ada yang punya kumpulan sendiri. Ada yang memang mahu menyendiri. Ada yang isteri bekerja, suaminya duduk rumah. Ada yang mempunyai anak yang kurang sihat dan kelainan upaya. Ada yang berpenyakit. Ada yang cemburu dan iri hati. Ada yang tersakit hati dengan kejayaan orang lain.

Masalah ini silih ganti hadir dalam hidup mereka. Yang ada penyelesaian. dan ada yang terpaksa diharung dan hadap sahaja masalah itu dengna keadaan sedia ada ini.

Melihat permasalahan mereka, menjadika aku rasa syukur. kerana hidup aku tidak sesusah yang lain. Hidup aku tidak begitu kecewa seperti yang lain. Hidup aku tidaklah begitu suram dan muram.

Tapi — ia tidak boleh dijadikan alasan untuk aku tidak terus maju. Masalah hadir tiap masa dan tidak mengenal waktu dan keadaannya. YAng penting betapa positifnya kita menerima masalah itu dengan tenang. dan mencari penyelesaiannya dengan bijak.

Semoga kalian sentiasa berada dalam rahmat Allah.

Salam sayang.

ps: hari ini hari lahir anakndaku Nur Falisya Zahra yg pertama. Semoga panjang umur kita melihat dunia ini nak.
5 Dis 2017
nf

 

Advertisements

Berbual

Pulang daripada kerja, aanak-anak sudah berlari ke arah ku. Belum pun sempat enjin kereta dimatikan. Mereka bersorak di depan pintu rumah. Kemudian, berlari ke kereta.

Situasi ini melegakan hatiku, merasai masih ada orang-orang tersayang yang memerlukan aku di sisi mereka. Dan begitu juga aku memerlukan mereka dunia akhirat.

Usai aku mendukung adik ke dalam rumah, abang dan kakak masing-masing dengan aduan, celoteh, cerita, tangis dan pelbagai lagi drama yang perlu dihadap.

Abang buat Kakak.
Kakak nak minum air.
Abang terjatuh tadi, luka kaki Abang.

Kadang-kadang, terkeluar sahaja daripada mulut anak-anak “Rindu bonda”.

Penat. Balik kerja hadap jalan jem, belum pun dapat duduk, aku kena layan karenah anak-anak.

Tapi, ini lah amanah daripada Allah. Dia dah berikan aku zuriat yang cantik dan comel. Inilah lubuk pahala aku dalam membesarkan sebuah keluarga yang sakinah. Sedangkan ada pasangan di luar sana yang teringin memiliki zuriat seperti ini tapi belum lagi Allah tunaikan.

Itu sahaja yang perlu ku ulang-ulang dalam fikiranku. Anak-anak ini seharian tak bertemu ku. Pasti pulang sahaja aku ke rumah, pelbagai perkara yang akan mereka sampaikan. Pelbagai cara akan mereka lakukan untuk menarik perhatianku.

Ada waktu, aku juga terhilang kawal lantaran rasa penat ya amat melalui hari-hari ku sebagai seorang isteri, ibu dan juga pekerja.

Sedang sibuk melayan anak-anak. Aku dapat satu pesanan daripada whatsapp.

Tayar motor bocor.
Batt low.
Tersadai tunggu pomen datang.

Si dia menghantar gambar motornya.

Kasihan sayangku. Berpanas, berhujan, berembun dan berpenat (ok lupakanlah kata imbuhan yang salah tu) —menaiki motor jauh ke tempat kerja.

Ada masanya begini. Tayar motor pancit. Rantai motor rosak.

Aku tunggu di rumah. Hampir jam 10 malam baru si dia tiba. Mukanya kepenatan. Mujur aku baru sahaja tidurkan ketiga-tiga anakku. Si dia ajak aku makan bersamanya. Dia pegang perut, tanda lapar.

Itulah waktu kami. Waktu kami bersama untuk berbual. Untuk meluahkan rasa-rasa penat di pejabat. Di meja makan aku setia menemaninya.

Aku mulai bicara hal-hal yang berlaku di pejabat. Dia sedia mendengar dan respon.
Kemudian, gilirannya pula. Begitu begini. Aku dengar tiap keluhan.

Terasa seronok berbual demikian. Walau tidak dapat mesra berlama-lama…tapi waktu itu sangat bermakna buat aku.

Biar penat bekerja, pulang melayan anak-anak. Waktu berbual bersama suamilah dapat melegakan segala rasa di hati, meringankan kepala yang serabut.

Sayangku, ketahuilah isterimu ini begitu bahagia denganmu walau saat susah mahupun senang. Moga kita sama-sama berjumpa di syurga nanti.

08112017
nf

Maafkan aku, Aina.

Aku pandang kosong ke arah telefon bimbitku.

Kosong.

Tak tahu bagaimana harus ku aturkan peristiwa ini dalam kepala otakku. Semuanya berlaku dengan pantas. Aku runsing, gelisah, tidak tentu arah dan pelbagai rasa yang tidak enak menerjah dalam sanubariku.

Apakah kekuatan ini hanya sekadar untuk melihat sahaja segala kemungkinan? Jika aku bertegas sedikit, pasti aku dapat membantu keluarganya.

Aku buka mesej yang ku hantar melalui Whatsapp kepada Encik Zul.

Encik Zul, hari ni boleh saya jumpa Encik?

Boleh. Lepas waktu pejabat ya. Nanti kita jumpa di restoran depan rumah saya tu. Dalam pukul 6 saya sampai

Aku senyum baca balasan itu. Tidak sukar buat temujanji dengannya. Jika tidak kerana sahabatku, Aina yang paksa aku untuk bicara terus dengan suaminya, aku pun tidak punya keberanian itu.

Aina rakan baikku sejak dari sekolah menengah. Tapi selepas aku melanjutkan pelajaran ke universiti, kami jarang berjumpa kerana kekangan masa belajar. Sehinggalah aku bertemu semula dengannya di sebuah pasar raya tahun lepas. Sejak aku berkecimpung dalam bisnes takaful, aku kerap bertemu dengannya kerana aku punya waktu terluang untuk bertemu dengan seberapa ramai prospek yang boleh menjadi client.

Begitu juga Aina. Pada mulanya pertemuan dengan Aina tidak disengajakan. Setelah beberapa kali pertemuan, baruku bertanya kepadanya tentang takaful. Aku tak mahu beliau salah erti. Tapi tugasku tentunya memberi kesedaran dan menyebarkan sebanyak mungkin manfaat untuk masyarakat. Apatah lagi kepada sahabatku, Aina. Aku tolak tepi tentang rejection. Aina menerima pandangan dan cadanganku.

Aina seorang surirumah. Dia mempunyai 3 orang anak yang masih kecil. Sebaya dengan anak-anakku yang berusia 3 ke 5 tahun.

Suaminya Encik Zul, seorang pegawai kerajaan di Putrajaya. Tidaklah berpangkat besar, tapi cukup untuk berikan keselesaan makan pakai dan tempat tinggal untuk keluarga kecil mereka.

“Aku ni faham tentang apa yang kau ceritakan pada aku. Tapi, aku cuma surirumah. Mana ada duit nak bayar insurans. Apa kata kau cakap dengan suami aku sendiri. Aku bagi nombor telefon dia, esok kau hubungi dia. Malam nanti aku beritahu dia pasal kau,” jawapan balas daripada Aina bila aku suarakan hal itu.

Aina menulis nombor telefon suaminya pada sekeping kertas.

Zul 0123456554

**************

Encik Zul terdiam lama memerhatikan pelan Takaful yang aku berikan padanya. Dia termenung seketika.

“Saya tak pernah terfikir pula untuk amik insurans ni, sebab sekarang saya dan keluarga memang selalu ke hospital kerajaan je. Beri saya masa untuk berfikir boleh?”

“Boleh Encik Zul. Tapi saya harap Encik Zul tidak berlengah sangat. Sebab ini bukan soal medical card sahaja. Seperti yang saya katakan tadi, kalau Encik tak mahu terus dapatkan medical card, Encik boleh teruskan dulu dengan sejumlah wang pampasan untuk isteri Encik, Aina. Diakan surirumah, kalau jadi apa-apa pada Encik ada juga sejumlah wang untuk dia teruskan kehidupan”

Aku sekadar untuk yakinkan Encik Zul. Tak mahu beliau lambat memberikan keputusan padaku.

********

Telefonku berbunyi. Tertera nama Encik Zul di skrin. Aku agak berdebar. Panggilan ini mungkin satu jawapan sama ada beliau terima atau tolak cadanganku tempoh hari.

“Assalammualaikum, Ila.”

“Waalaikumussalam, ya Encik Zul. Boleh saya bantu?”

“Isshh, dah macam operator gayanya. Saya rasa saya setuju dulu dengan pelan hari tu untuk hibah RM300,000 kepada isteri saya”

“Alhamdulillah. Bila saya boleh jumpa Encik Zul?” soalku.

“Esok saya mesyuarat. Hari ni pun sibuk. Lusa boleh rasanya. Awak mesej dulu la”

“Baik, saya akan hubungi Encik lusa.Terima kasih ya”

Talian diputuskan.

**********

Sudah hampir 1 jam aku menunggu. Kelibat Encik Zul tidak kunjung tiba. Mesej yang kuberikan pun tidak berbalas. Malah, mungkin tidak dibaca olehnya kerana tiada tanda bluetick pada mesej tersebut.

Aku dail nombor Aina. Mungkin dia pulang ke rumah dahulu.

“Aina, aku tunggu suami kau ni daripada tadi tak sampai-sampai pun. Dia balik rumah dulu ke?”

Aina sudahku maklumkan untuk bertemu dengan suaminya itu. Aina gembira sungguh-sungguh bila tahu Encik Zul bersetuju untuk buat hibah itu.

“La tak sampai lagi ke? Mana ada dia balik. Aku ingat dia dah jumpa kau dari tadi. Nanti aku call dia.”

“Aku dah try call, tak dapat pun”

“Takpe, biar aku call,” balas Aina.

Tidak sampai 5 minit, Aina hubungiku semula.

“Ila…” suara Aina cemas.

“Kenapa weh?” soalku.

“Zul accident. Tolong aku Aina. Dorang kata dia kat hospital. Aku baru dapat call ni lepas aku letak phone. Kau tolong bawa aku ke sana”

“Ya Allah. Hospital mana weh…kau siap-siap dengan anak-anak. Aku sampai sekarang”

********

Boleh. Lepas waktu pejabat ya. Nanti kita jumpa di restoran depan rumah saya tu. Dalam pukul 6 saya sampai.

Itu mesejnya padaku untuk terakhir kali.

Ku lihat Aina sedu sendirian. Ramai saudara maranya sudah tiba di hospital.

Kereta Encik Zul dilanggar dari arah belakang oleh seorang pemandu lori. Dia tidak dapat mengawal kenderaan dan terbabas melanggar pembahagi jalan. Kecederaannya sangat parah. Dan baru sebentar tadi, doktor mengesahkan beliau telah pergi menghadap Illahi.

Hati siapa yang tidak luluh.

Aku tidak dapat menahan rasa sedih. Apa lagi saat ku tatap wajah anak-anaknya yang masih kecil.

Dan paling aku sesalkan, aku tak dapat bantu Aina untuk dapatkan dana pantas seperti yang telah ku beritahu padanya sebelum itu.

Aku mungkin boleh aturkan pertemuanku dengan Encik Zul. Tapi aku tak dapat untuk menghalang pertemuannya dengan Pencipta.

Aku terlewat.
Namun mati itu tidak menunggu kami walau sesaat sekalipun.

Takziah Aina.
Aku harap kau kuat.
Maafkan aku Aina. Maafkan aku.

 

 

Rasa

Satu pesanan Whatsapp  masuk. Biasa-biasa aku dah set kan bunyi untuk personal mesej dan group mesej. Bunyi itu buat aku mahu lihat segera kerana ia kelihatan seperti personal mesej.

Abi OT hari ini, esok, lusa. Ku baca pesanan itu. Dari suamiku yang tercinta.

Sabtu pun? 

Laju tangan ini membalas. Hanya ikon muka monyok yang ku dapat.

Ok. Balasku.

Aku tak mahu si dia merasa beban dengan kerjanya. Aku mahu dia melaksanakan tugasannya dengan senang hati tanpa perlu risaukan isteri dan anak-anak yang perlu ditinggalkan seharian lama kerana perlu kerja lebih masa untuk mencari rezeki.

Kadang-kadang, OT tu atas arahan pihak atasan. Jika boleh ditolak, pasti beliau akan lakukan. Katanya perlu ganti orang. Jadi, tentunya berat untuk menolak.

Lama sudah kami anak beranak tidak merasai situasi ini. Tak lama dulu si dia kerja di tengah laut. Makan masa berminggu-minggu. Malah terlepas banyak perkara lantaran tidak dapat pulang terus. Ada waktu, tak dapat dihubungi sebab kekangan signal telefon.

Si dia usaha cari pekerjaan lain agar dapat lebih banyak masa bersama keluarga. Alhamdulillah, dapat kerja baru. Tapi kerja ni ikut shift pula. Sebagai isteri aku harus setuju dengan setiap tindakan dia. Perlu sokong agar dia tidak berasa sia-sia menukar pekerjaan.

Sekarang harus biasa-biasakan diri bila si dia kerja lebih masa. Tentunya pulang lewat.

Ada waktu terasa sunyi. Ada waktu tak ada masa nak berfikir.

Tempat kerjaku juga jauh daripada rumah. Perjalanan makan masa 40 minit jika tiada sebarang kesesakan.  Waktu aku masuk kerja 7.30 pagi. Jam 4.30 pagi ku  kunci jam untuk bangun dan buat persediaan bekal makan anak beranak. Seawal subuh aku sudah siap untuk keluar rumah. Waktu-waktu itu, si dia masih lena. Aku pulang lebih kurang jam 6 petang. Sibukkan diri dengan anak-anak.

Kalau ketika si dia OT, pulang lewat. Anak-anak juga sudah tidur. kadangkala aku jua kepenatan dan tidur awal. Bila si dia pulang, kami tidur. Ketika kami bangun si dia tidur.

Jauh di sudut hati, bukan kehidupan ini yang setiap orang mahukan. Sampaikan dapat bicara sebutir dua sahaja ketika bertentang mata.

Tapi, apa daya yang ada demi kehidupan dan rezeki yang harus dikais pagi hingga malam untuk keluarga. Anak-anak kian membesar. Kehidupan semakin mencabar. Kos sara hidup semakin meningkat.

Inilah kehidupan kami. Rezeki datang dalam pelbagai cara. Kehidupan kita juga turut berbeza. Semoga jika ada yang hidup seperti kami, demi sesuap nasi. sama-samalah berdoa agar semua yang kita lakukan diberkati. Yang penting keluarga masih harmoni. Anak-anak tidak terlepas daripada menerima kasih dan sayang kita.

Moga kepayahan ini akan diganti dengan kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak.

 

10 perkara yang anda perlu tahu tentang perlindungan Takaful.

Assalammualaikum.

Ehem…saja nak bagitahu. Aku ni sebenarnya ejen takaful Prudential. Tapi aku jual insurance TAkaful SAHAJA. Konvensional aku tak jual asbab ia tidak mematuhi shariah. Terpulang hangpa semua nak beli konvensional. Tapi, menjauhkan diri daripada yang Syubhah itu WAJIB.

So sebagai Ejen PruBSN Takaful — aku takdelah berniat nak menjual semata-mata untuk dapatkan komisen. Walau pada awalnya aku join sebab nak tambah pendapatan. Tapi lastly, bila ada hal-hal berkaitan kesihatan berlaku kepada orang terdekat aku dan tak ada peruntukan wang untuk merawat…dari situ aku rasa, RAMAI lagi orang di luar sana yang masih tidak sedar betapa pentingnya perlindungan Takaful ini. Betapa kita sebagai orang yang mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri dan keluarga harus menjadikan Takaful sebagai satu keperluan.

Nah, sekarang aku senaraikan perkara yang kau sebagai pelanggan atau peserta harus tahu sebelum mohon untuk dapatkan perlindungan Takaful.

❶ Jenis pelan yang diambil

Dapatkan khidmat perunding takaful untuk menjelaskan manfaat yang anda perlukan dan pastikan anda mendapat manfaat-manfaat tersebut daripada pelan yang disertai.

Anda mungkin mengambil sesuatu pelan dan mungkin tidak memahami perlindungan apa sebenarnya yang diambil. Sebagai contoh, pelan takaful berkaitan pelaburan mempunyai manfaat perlindungan dan pelaburan. Anda perlu tahu caruman untuk pelan tersebut akan diletakkan ke dalam dua dana yang berbeza iaitu dana pelaburan dan dana perlindungan.

Jika anda mahukan potensi pulangan pelaburan yang lebih, maka peratusan caruman anda akan dilebihkan kepada dana pelaburan. Ini juga bermakna jumlah manfaat perlindungan yang akan dibayar kepada anda sekiranya terdapat tuntutan akan lebih rendah.

Oleh itu, penting untuk anda membuat keputusan yang betul dalam menetapkan peratusan jumlah pelaburan dan perlindungan mengikut keperluan anda. Terdapat juga beberapa manfaat yang dibayar hanya jika terma dan syarat dipenuhi lebih-lebih lagi manfaat berbentuk kewangan.

Pastikan anda maklum mengenai terma dan syarat tersebut supaya tidak berasa kecewa atau tertipu jika tidak dapat menikmati manfaat tersebut kerana tidak memenuhi terma dan syarat yang telah ditetapkan.

❷ Umur

Umur adalah antara faktor utama dalam menentukan sumbangan atau caruman bulanan takaful seseorang. Semakin tinggi risiko (disebabkan faktor umur), maka semakin mahal caruman yang perlu dibayar.

Boleh dikatakan semua pelan takaful kanak-kanak boleh diambil seawal umur 30 hari manakala lain-lain pelan takaful pula seawal umur 19 tahun. Oleh itu, jangan berlengah untuk membuat keputusan mengambil pelan perlidungan bagi mengelak anda daripada membayar caruman yang lebih mahal.

❸ Jantina

Walaupun pada umumnya, caruman untuk wanita lebih rendah daripada lelaki, wanita perlukan kesedaran tentang pelbagai jenis penyakit khusus kepada wanita yang mungkin tidak dilindungi dengan pelan perubatan sedia ada. Oleh itu mereka perlu mengambil manfaat tambahan khas bagi penyakit berkaitan wanita seperti kanser payudara atau rahim.

❹ Merokok

Perokok mempunyai risiko kesihatan yang sangat tinggi. Secara amnya, individu perokok lebih berkemungkinan untuk menghidap penyakit kronik daripada bukan perokok.

Golongan perokok ini masih berpeluang mengambil pelan takaful, namun perlu bersedia untuk membayar caruman yang lebih tinggi berbanding individu yang tidak merokok.

Berbincanglah dengan perunding takaful anda untuk mengetahui caruman yang perlu anda bayar setiap bulan.

❺ Penyakit sedia ada

Nyatakan status kesihatan anda secara telus ketika mengisi borang permohonan. Jika anda ada masalah kesihatan atau sejarah perubatan sebelum ini, anda wajib memberitahu perunding takaful anda supaya tidak berlaku sebarang masalah ketika membuat tuntutan nanti.

Pengendali takaful tidak akan menanggung kos perubatan penyakit sedia ada dan kadar sumbangan yang lebih tinggi akan dikenakan kepada pemohon yang mempunyai risiko yang lebih tinggi.

❻ Tempoh menunggu

Tuntutan bagi kad perubatan tidak boleh dibuat dalam tempoh menunggu iaitu maksimum 120 hari daripada tarikh sijil berkuatkuasa melainkan disebabkan kemalangan.

Jika dimasukkan ke wad disebabkan oleh penyakit-penyakit tertentu seperti kanser atau diabetes dalam masa 120 hari, pengendali takaful tidak akan menanggung kos perubatan tersebut. Ini kerana, penyakit-penyakit sebegitu dianggap sudah dihidapi sebelum mengambil pelan takaful.

❼ Pekerjaan dan hobi

Jenis pekerjaan dan hobi anda akan menentukan apakah jenis perlindungan yang diperlukan dan berapakah amaun sumbangan yang bersesuaian. Pekerjaan dan hobi yang berbahaya dan berisiko tinggi terpaksa membayar caruman yang lebih tinggi berbanding pekerjaan yang berisiko rendah.

Sebagai contoh, caruman untuk jurutera pelantar minyak adalah lebih mahal kerana risiko mendapat kemalangan adalah lebih tinggi berbanding dengan orang yang bekerja di dalam pejabat.

❽ Sijil takaful luput
Sijil takaful akan luput sekiranya anda terlepas membuat bayaran atau ada tunggakan. Kes begini sering terjadi jika pemegang sijil membuat bayaran secara manual setiap bulan. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, gunakan kemudahan pembayaran seperti potongan terus dari akaun bank atau kad kredit.

Anda juga boleh membuat bayaran secara tahunan untuk kemudahan. Jika sijil takaful telah luput, anda tidak boleh menikmati manfaat perlindungan pelan seperti menggunakan kad perubatan untuk kemasukan ke hospital. Ini juga merupakan sebab utama Guarantee Letter (GL) anda tidak dikeluarkan oleh pengendali takaful.

❾ Tuntutan melebih had

Jika jumlah kos rawatan anda melebihi had tahunan atau seumur hidup, maka lebihan tidak akan ditanggung oleh pengendali takaful. Sebagai contoh, had tahunan anda RM75,000 dan had seumur hidup RM1,000,000.

Bermakna, dalam masa setahun anda hanya boleh membuat tuntutan sehingga RM75,000. Sekiranya bil melebihi RM75,000 anda perlu bayar selebihnya menggunakan wang sendiri.

Had seumur hidup pula merujuk kepada had jumlah tuntutan sepanjang tempoh perlindungan sijil yang akan dibayar tidak melebihi RM1,000,000. Pastikan anda mengambil pelan perlindungan yang boleh meningkatkan had-had tersebut apabila anda mampu berbuat demikian.

❿ Pelbagai manfaat tambahan (rider) untuk keperluan berbeza

Terdapat pelbagai jenis rider yang ditawarkan bagi memenuhi keperluan yang berbeza. Misalnya, ada rider khusus untuk perlindungan wanita, kemalangan, penyakit kritikal, kad perubatan, pendapatan dan pelbagai lagi.

Oleh itu, penting untuk anda semak semula pelan perlindungan anda jika terdapat perubahan dalam status kehidupan anda seperti berkahwin atau memulakan keluarga dan lihat jika anda perlu menambah rider untuk mendapatkan perlindungan yang optimum.

Selepas ambil kira semua ini, kita akan sediakan quotation untuk anda dan berikan harga yang anda perlu bayar untuk manfaat2 yang anda inginkan.

Mudah — tapi ia akan jadi sukar jika permohonan anda loading dan perlukan pemeriksaan kesihatan lanjut.

Bersiap sedialah sebelum berlaku perkara yang tidak ingini.

Ingat 5 perkara sebelum 5 perkara.

🙂

Tulus,

Bakal ejen anda
0125902865
PruBSN Takaful

 

 

Ogos 2017

Hari ini satu hari bulan.

Bulan merdeka.

Tak payah tanya dah erti kemerdekaan. Macam-macam jawapan ada nanti.

Sekarang tengah hangat kisah AA & AN yang kantoi karaoke —- saat isteri AA tu masih duk dalam pantang di rumah. baru 20 hari!

YAng buat nitizen marah sangat — dalam pantan. baru 20 hari lepas duk bertarung nyawa nak keluarkan seorang lagi hamba Allah ke muka bumi.

Hanya ibu-ibu sahajalah yang memahami betapa saat getir melahirkan itu bagaimana rasanya. Dan hanya seorang isteri sahaja rasa sakitnya apabila dikhianati saat diri sedang dirawat di rumah.

Jujur, sampai hari ni aku tak boleh move on dengan kes ni. kuikuikui…

Sebab dia artis maka kisah ini orang masih bicara. Tapi sebenarnya kisah seperti ini bersepah dalam masyarakat kita. BERSEPAH! cuma tak tular. sebab tak popular. sebab tak ada kepentingan katanya pada orang lain. Tak nak masuk campur. tak nak jaga tepi kain orang. katanyaaaaa….

Ramai aje para isteri yang sanggup makan hati sebab nak jaga hubungan demi anak-anak. ya demi anak-anak. Itulah kekuatan para isteri untuk terus bertahan walau disepak terajang, walau dikhianati, walau terpaksa bergadai barang —-  ANAK.

Nak cerita pasal ni, sampai ke sudah tak selesai.

Harapnya para suami sedarlah. Saat kau nikahi isteri itu, dia dah banyak tinggalkan hal-hal saat dia bujang. Keluarga, kawan, kerja lebih masa, cita-cita untuk sambung belajar… nampak tak. Mengandung, bersalin. Tak mudah.

Macam mana sukarnya seorang suami nak keluar mencari rezeki, begitu sukar lagi seorang isteri untuk menjaga maruah diri dan keluarga, menjaga dan mendidik anak-anak, memberi kebahagiaan dalam rumah tangga dengan melayani kehendak suami, memenuhi keperluan rumah tangganya. Dan zaman serba duit ini, isteri juga sama-sama keluar mencari rezeki. Ingat mudah? banyak benda nak kena jaga. Sebab nak dapat syurga bagi isteri itu seperti mudah …semudah juga seorang isteri tercampak ke neraka.

Sebab tu, isteri banyak membebel.. itu je pun cara nak lepaskan stress. tak dapat membebel, lepas marah pula ke anak. sebab nak marah suami, derhaka. abis kuat boleh tarik muka je..tu pun derhaka. kena bermanis2 depan suami. apa pilihan yang para isteri ada?

Gembirakan hati suami itu tugas isteri. tapi hati isteri — selalu sangat terabai.

Eh, ni bukan cerita pasal diri sendiri je tau. ni cerita umum. banyak kes dah berlaku. dah lihat, dah dengar, dah baca. percaya dengan tidak je.

tah-tah nanti jadi kat diri sendiri. baru lah makan hati berulam jantung.

ok. kerja.

8 tahun

Assalammualaikum.

hehehe….

8 tahun tinggalkan blog ni sejak ada blog berbayar yang baru. tapi blog berbayar tu pun akhirnya terkubur. terasa rindu nak menulis semula.

dah 8 tahun blog ni sepi. hari ni nak meriahkan semula.

Alhamdulillah. masih bernafas. Dikurniakan kesihatan yang baik. cerita selama 8 tahun tu ada pada blog sekilass.com. tapi sebab tak tarik lagi entry2 dalam blog tu, maka kita buka buru baru jelah ye.

lupakan yang lain. kikiki…

last menulis dulu kat blog satu lagi tu rasanya dalam 2 tahun lepas kot. lepas tu, berhenti kerja, takde masa lagi nak update. langsung tak bayar domain….tutup sudah.

kalau kat sini FREE. hahaha…

ok. ada banyak nak story mory dengan pembaca. hai untuk pembaca lama dan hai untuk pembaca baru.

Boleh panggil saya Cik Norfa. walaupun sudah berstatus ‘puan’ kikiki….

Salam perkenalan.