Positif tetapi…

Assalammualaikum.

Masih ingat post bff lambat yang lepas? Saya telah membuat ujian kehamilan sekali lagi pada 23 Oktober. Hasilnya positif tetapi garis kedua itu sangat samar. very light. Lepas pulang daripada kerja, saya segera ke klinik berdekatan untuk pengesahan.

Ketika memaklumkan kepada doktor. Doktor beritahu dia akan scan terus memandangkan saya sudah membuat ujian kehamilan melalui UPT.

Agak hampa kerana tiada sebarang kelongsong ditemui ketika doktor scan perut saya. Doktor suruh saya buat ujian UPT sekali lagi untuk dia lihat sendiri hasil ujian tersebut.

Seperti yang diduga positif tetapi sama macam ujian yang saya buat sendiri. very light. Doktor pun agak ragu-ragu. kerana jika dikira, usia kandungan sudah mencecah 5 minggu lebih. Sepatutnya dah boleh nampak si kecil tu. Doktor refer kes saya ke hospital Shah Alam untuk pemeriksaan lanjut. Katanya, sama ada kandungan terlalu kecil atau kandungan luar rahim yang menyebabkan beliau tidak dapat temui sebarang kelongsong dalam rahim saya. Di hospital boleh scan

Mendengar kandungan luar rahim itu agak mendebarkan. Setahu saya ia sangat membahayakan keadaan ibu jika itu berlaku.

Ketika saya ke klinik itu sudah lewat petang. Jadi saya bercadang untuk ke HSA keesokkan harinya (24 Oktober) dengan mengambil cuti kecemasan. Saya meminta suami temankan saya memandangkan dia kerja malam. Jadi dia ada waktu waktu siang. Kesian dia, baru balik kerja kena teman saya. Mesti tak cukup tidur.

Sampai hospital, bila saya maklumkan saya direfer oleh doktor di klinik kerana bimbang saya mengandung luar rahim. Terus MO bawa saya jumpa doktor di kecemasan. Saya duduk di zon kuning. hahaha…

Doktor tu terus attend saya dan tanya sakit ke..kluar darah ke dan sebagainya. Saya jawab saya tak sakit. Dia agak lega dan tanya kenapa saya ke hospital kalau tak sakit. dia sangat risau jika betul saya mengandung luar rahim. Ia sangat membahayakan.

Darah saya diambil. air kencing juga. Mula-mula dokotr tu kata keputusan UPT saya negatif. ada satu line je. Time tu rasa malu pun ada juga. Tapi 10 minit kemudian doktor datang semula dan beritahu ada second line tapi samar macam yang saya pernah buat sebelum ni.

Dia suruh tunggu ujian darah dan pergi ke pakar sakit puan.

Saya kena masuk PAC. kalau ibu-ibu mengandung yang ada masalah biasanya akan dirujuk ke PAC. sebelum nak bersalin pun kalau tak emergency kena buat pemeriksaan di PAC dulu.

Keputusan dah dapat. Doktor pakar sakit puan periksa saya. Dia beritahu bacaan HCG saya sangat rendah iaitu 60. Katanya awal kehamilan biasanya bacaan tu ratus-ratus. Saya tak berapa faham. Dia pun buat ultrasound vaginal. iaitu scan melalui vagina. ada alat yang digunakan dan dimasukkan beberapa inci sahaja ke dalam vagina.

Sayangnya tiada sebarang penemuan melainkan doktor memaklumkan dinding rahim saya sangat tebal.

Saya kena ambil darah semula 48 jam selepas sampel yang pertama. Jadi saya kena ke hospital semula hari jumaat, 26 Oktober. Dia perlu monitor kandungan saya sehinggalah sebarang penemuan atau apa-apa yang membimbangkan berlaku.

Saya dengar perkataan monitor tu pun dah buat saya letih. hahaha…sebab kalau doktor dah kata nak monitor kamu — maka bersedialah untuk berulang-alik ke hospital dengan kekerapan yang sukar dijangka.

Panjang pula nak tulis. haha…nanti lah saya sambung semula. Saya dirujuk ke klinik pakar O&G di HSA. untuk ambil darah selepas 48 jam. keputusannya…. tunggu next entry ok.

 

‘Bestfriend’ datang lewat?

Assalammualaikum.

Hehe. Lama tak menulis. ada masa senggang skit ni. cuba nak coretkan sesuatu buat kenang-kenangan.

Tajuk ‘bestfriend’ tu ialah kawan baik kepada setiap orang perempuan. Tiap-tiap bulan datang. hahaha… so you know what i mean.

Sejak-sejak jadi mak orang…saya segan skit nak bersembang dan menulis secara terbuka. gituuu.

Untuk pengetahuan pembaca, saya seorang mak kepada tiga orang anak. Since yang bongsu dah nak masuk 2 tahun. saya teringin juga menambah anak. Kalau ada rezeki, alhamdulillah. Kalau tiada pun, syukur. sebab saya masih ada tiga orang anak yang lain. Tiada apa yang hendak dirungutkan.

Hari ini sudah 10 hari lewat bff tak datang. Teringin check. dan hasilnya negatif.

Sebenarnya, sudah dua kali check sebabnya jarang lewat bff ni. Kotttt laaa…melekat jugak. bila negatif. kadang2 rasa frust. begitulah rasanya kepada wanita-wanita yang teringin sangat untuk hamil. sebab mereka sangat menanti kehadiran cahaya mata pertama dalam kehidupan mereka.

Sering saya mengingatkan kepada diri sendiri agar mulut ni tidak terlalu laju bicara soal mendapat anak kepada kawan-kawan yang sudah berkahwin lama tapi belum dikurniakan rezeki anak.

Saya percaya, mereka seringkali seperti yang saya lalui. lewat sehari dua pun dah beli UPT untuk check sama ada mereka mengandung atau tidak. bila hasilnya negatif. pasti mereka kecewa. Tertekan pula dengan soalan kawan-kawan dan saudara-mara. Saat-saat ini, suami sahajalah yang mampu mengubat jiwa yang kecewa.

Saya yang sudah ada anak tiga ni pun, bila teringin menambah rezeki anak, agak frust bila result negatif. apatah lagi kepada mereka yang baru pertama kali ingin merasa zuriat sendiri.

Nasihat saya kepada para pembaca, janganlah sering bertanya tentang zuriat kepada pasangan berkahwin yang tentunya sangat menanti kehadiran bayi comel dalam hidup mereka. mereka juga manusia biasa. punya hati yang sensetif. lebih lagi orang perempuan. Saya doakan pasangan berkahwin yang lambat dikurniakan rezeki anak, mempunyai hati yang cekap dan kuat untuk melalui hari-hari mendatang.

Setiap daripada kita ujian sangat berbeza-beza. Semoga kita sentiasa sihat dan dilindungi Allah. Itulah yang ingin kita kekalkan…kuat iman dan bahagia dunia akhirat. Amin. Inshaallah.

Salam Sayang,
Bonda Anak Tiga.

Iman senipis kulit bawang

Lama tak menulis.

Saja nak asah semula bakat. Mana tahu ranking blog ni naik pula. haha. . .

Akhir-akhir ini, banyak berita menyedihkan. Kematian anak di rumah pengasuh, anak dibuang merata tempat, anak mati didera ibu sendiri. Aduh, pedih mendengarnya. Luluh hati membacanya.

Nah, semalam keluar pula berita seorang kerani dibunuh kerana suspek bengang selalu disindir oleh mangsa.

Masyarakat kita semakin tenat. Khabarnya suspek sedang menerima rawatan kerana mengalami tekanan.

Inilah perkara-perkara yang perlu kita ambil kira. Kita bukan hidup seorang diri di dunia ini. Bila keluar je daripada rumah, maka kita sedang bercampur masyarakat. Jiran tetangga, orang awam, rakan di tempat kerja dan sebagainya. Mahu atau tidak akan ada orang lain yang terlibat dalam hidup kita. Hatta, sampai waktu kita mati pun, akan ada insan lain yang uruskan jenazah kita untuk dikebumikan.

Selalulah beringat, kita hidup bukan untuk diri kita semata-mata. Sebab tu Allah jadikan hambaNya susah dan senang, sakit dan sihat, diuji dan tidak diuji dan sebagainya. Ini kerana Allah mahu kita saling membantu sesama kita.

Anak yang didera ibu. Pasti ibu itu berada dalam keadaan yang tidak tenang. Segala bentuk keji dan caci. Kita pun tidak tahu apa yang ada dalam hati si ibu. Senangnya, kita tiada di tempat dia.

Semua ini berbalik kepada didikan kita daripada kecil. Jika kita kurang mendapat didikan sempurna — maka bawa diri untuk mendekati orang-orang positif dan beriman. Moga-moga Allah tiupkan rasa insaf dan mahu perbaiki diri pada kita. Saya percaya orang sekeliling mampu mempengaruhi tindak tanduk kita. Jika berada di kalangan orang baik-baik, pasti kebaikan selalu datang kepada kita.

Jika kita sudah dapat teguhkan hati dan iman kita, barulah kita pula dekatkan diri dengan orang yang kurang kasih sayang, kurang didikan untuk kita pula memberi energi positif kepada mereka seperti mana kita perlukannya dahulu. Ini yang saya selalu lihat Ustaz Ebit Lew lakukan. mendekati anak remaja yang berkeliaran di kota dusta, gelandangan dan mereka yang hidup tidak serupa hidupnya dengan kita. Ustaz Ebit percaya itu mampu menarik mereka menjadi insan yang lebih baik. Cabarannya besar — kita sendiri harus kuat pendirian dan selalu dekatkan diri dengan Tuhan.

Pokok pangkalnya tanyalah hati dan iman kita. Jika masih nipis, maka banyakkanlah lakukan kebaikkan. Daripada kebaikan itu, akan datang pelbagai rezeki yang tidak disangka.

Jika ada masalah, jangan disimpan dan pendam. cari orang untuk meluahkan. Tulis dalam diari, tulis untuk keluarkan rasa sakit dan sedih. Paling mudah, bicaralah dengan Allah. Ambil wudhuk, solat — dan luahkan segalanya dalam doa kita. Allah Maha Mendengar sahabat semua. Dia suka kita menangis kepada-Nya. Lambat atau cepat, Allah pasti makbulkan doa kita. Tapi janjilah dengan diri sendiri, cari seseorang untuk mendapatkan semangat positif.

Paling penting — saya sendiri selalu mengingatkan diri, SELALULAH BERSANGKA BAIK. tidak kira kepada Tuhan yang Satu, atau orang sekeliling kita.

Percayalah, Allah sayang kita.

12072018
nf

Masalah

Sudah masuk 6 bulan berkerjaya di sebuah badan berkanun di Kuala Lumpur.

Di bahagian aku ini, ada lebih kurang 60 staf yang bersama-sama menjayakan organisasi dan meneruskan kehidupan untuk mencari rezeki. Bahagian aku jela..bahagian lain belum kira lagi berapa orang staf kan.

Dalam 60 staf ini, macam-macam ragam. Lelaki dan perempuan. Gred tinggi dan gred rendah. Senior dan junior. dah kahwin dan bujang. Dan yang sewaktu dengannya.

6 bulan di sini tidaklah membuatkan aku betul-betul kenal dengan setiap personaliti mereka. Tapi sedikit sebanyak dapat la juga scan manay ang boleh dijadikan contoh, mana yang harus dipandang sahaja tanpa perlu menjadikannya idola. heh.

Dan dalam ramai-ramai ini juga, boleh menjadikan bukti bahawa kerja dan gaji yang baik bukanlah jaminan kehidupan kita menjadi lebih baik. kerana ada dalam kalangan mereka yang bahagia dengan kehidupan yang biasa-biasa. Ada yang perlu berada di dalam kasta mereka sendiri.

Aku perhati setiap seorang daripada mereka. Jelas…setiap orang itu ada masalahnya.

Ada yang tidak berkahwin. Dikecewakan oleh orang-orang yang tak berguna. Ada yang berkahwin dengan orang yang lebih berusia. Ada yang berkahwin anaknya ramai, gajinya rendah. Ada yang baru berkahwin. Ramai juga yang bujang. Ada yang punya kumpulan sendiri. Ada yang memang mahu menyendiri. Ada yang isteri bekerja, suaminya duduk rumah. Ada yang mempunyai anak yang kurang sihat dan kelainan upaya. Ada yang berpenyakit. Ada yang cemburu dan iri hati. Ada yang tersakit hati dengan kejayaan orang lain.

Masalah ini silih ganti hadir dalam hidup mereka. Yang ada penyelesaian. dan ada yang terpaksa diharung dan hadap sahaja masalah itu dengna keadaan sedia ada ini.

Melihat permasalahan mereka, menjadika aku rasa syukur. kerana hidup aku tidak sesusah yang lain. Hidup aku tidak begitu kecewa seperti yang lain. Hidup aku tidaklah begitu suram dan muram.

Tapi — ia tidak boleh dijadikan alasan untuk aku tidak terus maju. Masalah hadir tiap masa dan tidak mengenal waktu dan keadaannya. YAng penting betapa positifnya kita menerima masalah itu dengan tenang. dan mencari penyelesaiannya dengan bijak.

Semoga kalian sentiasa berada dalam rahmat Allah.

Salam sayang.

ps: hari ini hari lahir anakndaku Nur Falisya Zahra yg pertama. Semoga panjang umur kita melihat dunia ini nak.
5 Dis 2017
nf

 

Berbual

Pulang daripada kerja, aanak-anak sudah berlari ke arah ku. Belum pun sempat enjin kereta dimatikan. Mereka bersorak di depan pintu rumah. Kemudian, berlari ke kereta.

Situasi ini melegakan hatiku, merasai masih ada orang-orang tersayang yang memerlukan aku di sisi mereka. Dan begitu juga aku memerlukan mereka dunia akhirat.

Usai aku mendukung adik ke dalam rumah, abang dan kakak masing-masing dengan aduan, celoteh, cerita, tangis dan pelbagai lagi drama yang perlu dihadap.

Abang buat Kakak.
Kakak nak minum air.
Abang terjatuh tadi, luka kaki Abang.

Kadang-kadang, terkeluar sahaja daripada mulut anak-anak “Rindu bonda”.

Penat. Balik kerja hadap jalan jem, belum pun dapat duduk, aku kena layan karenah anak-anak.

Tapi, ini lah amanah daripada Allah. Dia dah berikan aku zuriat yang cantik dan comel. Inilah lubuk pahala aku dalam membesarkan sebuah keluarga yang sakinah. Sedangkan ada pasangan di luar sana yang teringin memiliki zuriat seperti ini tapi belum lagi Allah tunaikan.

Itu sahaja yang perlu ku ulang-ulang dalam fikiranku. Anak-anak ini seharian tak bertemu ku. Pasti pulang sahaja aku ke rumah, pelbagai perkara yang akan mereka sampaikan. Pelbagai cara akan mereka lakukan untuk menarik perhatianku.

Ada waktu, aku juga terhilang kawal lantaran rasa penat ya amat melalui hari-hari ku sebagai seorang isteri, ibu dan juga pekerja.

Sedang sibuk melayan anak-anak. Aku dapat satu pesanan daripada whatsapp.

Tayar motor bocor.
Batt low.
Tersadai tunggu pomen datang.

Si dia menghantar gambar motornya.

Kasihan sayangku. Berpanas, berhujan, berembun dan berpenat (ok lupakanlah kata imbuhan yang salah tu) —menaiki motor jauh ke tempat kerja.

Ada masanya begini. Tayar motor pancit. Rantai motor rosak.

Aku tunggu di rumah. Hampir jam 10 malam baru si dia tiba. Mukanya kepenatan. Mujur aku baru sahaja tidurkan ketiga-tiga anakku. Si dia ajak aku makan bersamanya. Dia pegang perut, tanda lapar.

Itulah waktu kami. Waktu kami bersama untuk berbual. Untuk meluahkan rasa-rasa penat di pejabat. Di meja makan aku setia menemaninya.

Aku mulai bicara hal-hal yang berlaku di pejabat. Dia sedia mendengar dan respon.
Kemudian, gilirannya pula. Begitu begini. Aku dengar tiap keluhan.

Terasa seronok berbual demikian. Walau tidak dapat mesra berlama-lama…tapi waktu itu sangat bermakna buat aku.

Biar penat bekerja, pulang melayan anak-anak. Waktu berbual bersama suamilah dapat melegakan segala rasa di hati, meringankan kepala yang serabut.

Sayangku, ketahuilah isterimu ini begitu bahagia denganmu walau saat susah mahupun senang. Moga kita sama-sama berjumpa di syurga nanti.

08112017
nf

Maafkan aku, Aina.

Aku pandang kosong ke arah telefon bimbitku.

Kosong.

Tak tahu bagaimana harus ku aturkan peristiwa ini dalam kepala otakku. Semuanya berlaku dengan pantas. Aku runsing, gelisah, tidak tentu arah dan pelbagai rasa yang tidak enak menerjah dalam sanubariku.

Apakah kekuatan ini hanya sekadar untuk melihat sahaja segala kemungkinan? Jika aku bertegas sedikit, pasti aku dapat membantu keluarganya.

Aku buka mesej yang ku hantar melalui Whatsapp kepada Encik Zul.

Encik Zul, hari ni boleh saya jumpa Encik?

Boleh. Lepas waktu pejabat ya. Nanti kita jumpa di restoran depan rumah saya tu. Dalam pukul 6 saya sampai

Aku senyum baca balasan itu. Tidak sukar buat temujanji dengannya. Jika tidak kerana sahabatku, Aina yang paksa aku untuk bicara terus dengan suaminya, aku pun tidak punya keberanian itu.

Aina rakan baikku sejak dari sekolah menengah. Tapi selepas aku melanjutkan pelajaran ke universiti, kami jarang berjumpa kerana kekangan masa belajar. Sehinggalah aku bertemu semula dengannya di sebuah pasar raya tahun lepas. Sejak aku berkecimpung dalam bisnes takaful, aku kerap bertemu dengannya kerana aku punya waktu terluang untuk bertemu dengan seberapa ramai prospek yang boleh menjadi client.

Begitu juga Aina. Pada mulanya pertemuan dengan Aina tidak disengajakan. Setelah beberapa kali pertemuan, baruku bertanya kepadanya tentang takaful. Aku tak mahu beliau salah erti. Tapi tugasku tentunya memberi kesedaran dan menyebarkan sebanyak mungkin manfaat untuk masyarakat. Apatah lagi kepada sahabatku, Aina. Aku tolak tepi tentang rejection. Aina menerima pandangan dan cadanganku.

Aina seorang surirumah. Dia mempunyai 3 orang anak yang masih kecil. Sebaya dengan anak-anakku yang berusia 3 ke 5 tahun.

Suaminya Encik Zul, seorang pegawai kerajaan di Putrajaya. Tidaklah berpangkat besar, tapi cukup untuk berikan keselesaan makan pakai dan tempat tinggal untuk keluarga kecil mereka.

“Aku ni faham tentang apa yang kau ceritakan pada aku. Tapi, aku cuma surirumah. Mana ada duit nak bayar insurans. Apa kata kau cakap dengan suami aku sendiri. Aku bagi nombor telefon dia, esok kau hubungi dia. Malam nanti aku beritahu dia pasal kau,” jawapan balas daripada Aina bila aku suarakan hal itu.

Aina menulis nombor telefon suaminya pada sekeping kertas.

Zul 0123456554

**************

Encik Zul terdiam lama memerhatikan pelan Takaful yang aku berikan padanya. Dia termenung seketika.

“Saya tak pernah terfikir pula untuk amik insurans ni, sebab sekarang saya dan keluarga memang selalu ke hospital kerajaan je. Beri saya masa untuk berfikir boleh?”

“Boleh Encik Zul. Tapi saya harap Encik Zul tidak berlengah sangat. Sebab ini bukan soal medical card sahaja. Seperti yang saya katakan tadi, kalau Encik tak mahu terus dapatkan medical card, Encik boleh teruskan dulu dengan sejumlah wang pampasan untuk isteri Encik, Aina. Diakan surirumah, kalau jadi apa-apa pada Encik ada juga sejumlah wang untuk dia teruskan kehidupan”

Aku sekadar untuk yakinkan Encik Zul. Tak mahu beliau lambat memberikan keputusan padaku.

********

Telefonku berbunyi. Tertera nama Encik Zul di skrin. Aku agak berdebar. Panggilan ini mungkin satu jawapan sama ada beliau terima atau tolak cadanganku tempoh hari.

“Assalammualaikum, Ila.”

“Waalaikumussalam, ya Encik Zul. Boleh saya bantu?”

“Isshh, dah macam operator gayanya. Saya rasa saya setuju dulu dengan pelan hari tu untuk hibah RM300,000 kepada isteri saya”

“Alhamdulillah. Bila saya boleh jumpa Encik Zul?” soalku.

“Esok saya mesyuarat. Hari ni pun sibuk. Lusa boleh rasanya. Awak mesej dulu la”

“Baik, saya akan hubungi Encik lusa.Terima kasih ya”

Talian diputuskan.

**********

Sudah hampir 1 jam aku menunggu. Kelibat Encik Zul tidak kunjung tiba. Mesej yang kuberikan pun tidak berbalas. Malah, mungkin tidak dibaca olehnya kerana tiada tanda bluetick pada mesej tersebut.

Aku dail nombor Aina. Mungkin dia pulang ke rumah dahulu.

“Aina, aku tunggu suami kau ni daripada tadi tak sampai-sampai pun. Dia balik rumah dulu ke?”

Aina sudahku maklumkan untuk bertemu dengan suaminya itu. Aina gembira sungguh-sungguh bila tahu Encik Zul bersetuju untuk buat hibah itu.

“La tak sampai lagi ke? Mana ada dia balik. Aku ingat dia dah jumpa kau dari tadi. Nanti aku call dia.”

“Aku dah try call, tak dapat pun”

“Takpe, biar aku call,” balas Aina.

Tidak sampai 5 minit, Aina hubungiku semula.

“Ila…” suara Aina cemas.

“Kenapa weh?” soalku.

“Zul accident. Tolong aku Aina. Dorang kata dia kat hospital. Aku baru dapat call ni lepas aku letak phone. Kau tolong bawa aku ke sana”

“Ya Allah. Hospital mana weh…kau siap-siap dengan anak-anak. Aku sampai sekarang”

********

Boleh. Lepas waktu pejabat ya. Nanti kita jumpa di restoran depan rumah saya tu. Dalam pukul 6 saya sampai.

Itu mesejnya padaku untuk terakhir kali.

Ku lihat Aina sedu sendirian. Ramai saudara maranya sudah tiba di hospital.

Kereta Encik Zul dilanggar dari arah belakang oleh seorang pemandu lori. Dia tidak dapat mengawal kenderaan dan terbabas melanggar pembahagi jalan. Kecederaannya sangat parah. Dan baru sebentar tadi, doktor mengesahkan beliau telah pergi menghadap Illahi.

Hati siapa yang tidak luluh.

Aku tidak dapat menahan rasa sedih. Apa lagi saat ku tatap wajah anak-anaknya yang masih kecil.

Dan paling aku sesalkan, aku tak dapat bantu Aina untuk dapatkan dana pantas seperti yang telah ku beritahu padanya sebelum itu.

Aku mungkin boleh aturkan pertemuanku dengan Encik Zul. Tapi aku tak dapat untuk menghalang pertemuannya dengan Pencipta.

Aku terlewat.
Namun mati itu tidak menunggu kami walau sesaat sekalipun.

Takziah Aina.
Aku harap kau kuat.
Maafkan aku Aina. Maafkan aku.

 

 

Rasa

Satu pesanan Whatsapp  masuk. Biasa-biasa aku dah set kan bunyi untuk personal mesej dan group mesej. Bunyi itu buat aku mahu lihat segera kerana ia kelihatan seperti personal mesej.

Abi OT hari ini, esok, lusa. Ku baca pesanan itu. Dari suamiku yang tercinta.

Sabtu pun? 

Laju tangan ini membalas. Hanya ikon muka monyok yang ku dapat.

Ok. Balasku.

Aku tak mahu si dia merasa beban dengan kerjanya. Aku mahu dia melaksanakan tugasannya dengan senang hati tanpa perlu risaukan isteri dan anak-anak yang perlu ditinggalkan seharian lama kerana perlu kerja lebih masa untuk mencari rezeki.

Kadang-kadang, OT tu atas arahan pihak atasan. Jika boleh ditolak, pasti beliau akan lakukan. Katanya perlu ganti orang. Jadi, tentunya berat untuk menolak.

Lama sudah kami anak beranak tidak merasai situasi ini. Tak lama dulu si dia kerja di tengah laut. Makan masa berminggu-minggu. Malah terlepas banyak perkara lantaran tidak dapat pulang terus. Ada waktu, tak dapat dihubungi sebab kekangan signal telefon.

Si dia usaha cari pekerjaan lain agar dapat lebih banyak masa bersama keluarga. Alhamdulillah, dapat kerja baru. Tapi kerja ni ikut shift pula. Sebagai isteri aku harus setuju dengan setiap tindakan dia. Perlu sokong agar dia tidak berasa sia-sia menukar pekerjaan.

Sekarang harus biasa-biasakan diri bila si dia kerja lebih masa. Tentunya pulang lewat.

Ada waktu terasa sunyi. Ada waktu tak ada masa nak berfikir.

Tempat kerjaku juga jauh daripada rumah. Perjalanan makan masa 40 minit jika tiada sebarang kesesakan.  Waktu aku masuk kerja 7.30 pagi. Jam 4.30 pagi ku  kunci jam untuk bangun dan buat persediaan bekal makan anak beranak. Seawal subuh aku sudah siap untuk keluar rumah. Waktu-waktu itu, si dia masih lena. Aku pulang lebih kurang jam 6 petang. Sibukkan diri dengan anak-anak.

Kalau ketika si dia OT, pulang lewat. Anak-anak juga sudah tidur. kadangkala aku jua kepenatan dan tidur awal. Bila si dia pulang, kami tidur. Ketika kami bangun si dia tidur.

Jauh di sudut hati, bukan kehidupan ini yang setiap orang mahukan. Sampaikan dapat bicara sebutir dua sahaja ketika bertentang mata.

Tapi, apa daya yang ada demi kehidupan dan rezeki yang harus dikais pagi hingga malam untuk keluarga. Anak-anak kian membesar. Kehidupan semakin mencabar. Kos sara hidup semakin meningkat.

Inilah kehidupan kami. Rezeki datang dalam pelbagai cara. Kehidupan kita juga turut berbeza. Semoga jika ada yang hidup seperti kami, demi sesuap nasi. sama-samalah berdoa agar semua yang kita lakukan diberkati. Yang penting keluarga masih harmoni. Anak-anak tidak terlepas daripada menerima kasih dan sayang kita.

Moga kepayahan ini akan diganti dengan kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak.